Apa itu MBJ?
Majlis Bersama Jabatan (MBJ) ialah sebuah medium dua hala, di mana Pihak Pekerja diberi saluran untuk berkomunikasi dengan Pihak Pengurusan dalam menyuarakan pendapat, pandangan serta menyumbang idea-idea yang bernas demi kepentingan dan kebaikan organisasi.
Penubuhan MBJ
Semua agensi Kerajaan yang mengendalikan secara langsung urusan pentadbiran, pengurusan sumber manusia dan hal ehwal kewangan serta mempunyai kuasa untuk menimbang dan membuat keputusan ke atas perkara-perkara tersebut adalah dikehendaki menubuhkan MBJ. Bagi tujuan penubuhan MBJ, satu draf perlembagaan yang telah dipersetujui oleh Pihak Pengurusan dan Pihak Pekerja perlu digubal terlebih dahulu dan hendaklah dikemukakan kepada JPA untuk kelulusan.
Bidang dan Fungsi
Skop, bidang dan fungsi MBJ lebih menitikberatkan kepada kepentingan pekerja-pekerja dalam sesebuah organisasi. MBJ berfungsi sebagai tempat menyalurkan masalah-masalah yang dihadapi oleh pegawai dan kakitangan MITI berkaitan persekitaran kerja melalui wakil-wakil yang dilantik dari setiap kumpulan untuk disampaikan kepada pihak pengurusan untuk tindakan selanjutnya. MBJ yang aktif secara tidak langsung akan dapat menyemai semangat bekerja di kalangan pekerja untuk berkhidmat dengan lebih dedikasi dan produktif.
Objektif MBJ
- Memperolehi kerjasama yang menyeluruh di antara Pihak Kementerian dengan Pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kelicinan kerja dan kebajikan pekerja-pekerja berkenaan;
- Mengadakan jentera bagi menguruskan soal-soal mengenai syarat-syarat bekerja;
- Mengumpul berbagai buah fikiran daripada pekerja-pekerja dengan wakil-wakil rasmi Kementerian.
Faedah MBJ
Di antara faedah yang boleh didapati daripada mesyuarat MBJ ialah dapat mewujudkan hubungan dan sikap yang positif antara pihak pengurusan dan pihak pekerja,kepuasan hati, peningkatan daya pengeluaran, peningkatan kualiti kerja, penjimatan kos, kemajuan pekerja, sikap hormat menghormati, penyelesaian masalah, kesetiaan kepada organisasi, dan perpaduan.
KEAHLIAN
- Majlis Bersama Jabatan (MBJ) bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selepas ini disebut sebagai “Majlis” hendaklah mengandungi tiga puluh satu (31) orang ahli secara keseluruhannya termasuk Pengerusi, Naib Pengerusi dan Setiausaha-setiausaha yang terdiri daripada Ketua Setiausaha selaku Pengerusi dan sepuluh (10) orang ahli yang dilantik oleh Ketua Setiausaha MITI (selepas daripada ini disebut sebagai “Pihak Pegawai”) dan dua puluh (20) orang ahli yang dipilih oleh Pihak Pekerja yang berkhidmat di MITI (selepas ini disebut sebagai “Pihak Pekerja”).
PIHAK PEGAWAI
-
Selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 tahun 1992, Ketua Setiausaha MITI telah ditetapkan sebagai Pengerusi Majlis dan Ketua Penolong Pengarah (Tadbir) sebagai Setiausaha Pihak Pegawai.
-
Ahli-ahli bagi Pihak Pegawai hendaklah terdiri daripada pegawai-pegawai MITI di mana Majlis ditubuhkan seperti berikut:
-
Ketua Setiausaha - Pengerusi
-
Timbalan Ketua Setiausaha (Industri)- Ahli (Pengerusi Ganti)
-
Pengarah Kanan Khidmat Pengurusan - Ahli
-
Pengarah Pentadbiran -Ahli
-
Pengarah Kewangan- Ahli
-
Pengarah Pengurusan Sumber Manusia - Ahli
-
Pengarah Pengurusan Maklumat - Ahli
-
Ketua Audit Dalam - Ahli
-
Ketua Unit Integriti - Ahli
-
Wakil Majlis Bersama Kebangsaan - Ahli
-
Ketua Penolong Pengarah (Tadbir) - Setiausaha
-
-
Ahli-ahli bagi Pihak Pegawai hendaklah dilantik atas nama jawatan masing-masing dan tiada had tempoh memegang jawatan di dalam Majlis.
PIHAK PEKERJA
-
Ahli-ahli bagi Pihak Pekerja hendaklah terdiri daripada pekerja-pekerja MITI dan dipilih oleh kumpulan/kategori pekerja yang mewakili pekerja-pekerja dalam gred perkhidmatan masing-masing di MITI.
-
Peraturan bagi pemilihan ahli-ahli Pihak Pekerja hendaklah mengikut peraturan-peraturan yang akan disediakan buat permulaan oleh satu jawatan kuasa yang ditubuhkan oleh pekerja-pekerja dalam MITI dan diluluskan oleh Ketua Setiausaha MITI. Ahli-ahli Pihak Pekerja adalah seperti berikut:
-
Seorang wakil Kumpulan Pengurusan dan Profesional Gred 48/52 merangkap Pengerusi Pihak Pekerja;
-
Seorang wakil Kumpulan Pengurusan dan Profesional Gred 41/44;
-
Seorang wakil Kumpulan Pegawai Teknologi Maklumat;
-
Seorang wakil Kumpulan Kader Gred Pegawai;
-
Seorang wakil Kumpulan Penolong Pegawai Tadbir;
-
Seorang wakil Kumpulan Penolong Pegawai Teknologi Maklumat;
-
Seorang wakil Kumpulan Setiausaha Pejabat;
-
Seorang wakil Kumpulan Kader Pelaksana;
-
Wakil Kumpulan Pembantu Tadbir (2 orang);
-
Seorang wakil Kumpulan Pengawal Keselamatan;
-
Seorang wakil Kumpulan Pemandu;
-
Seorang wakil Kumpulan Pembantu Operasi; dan
-
Wakil Pejabat MITI Wilayah (7 orang).
-
-
Pemilihan Pengerusi dan Setiausaha Pihak Pekerja adalah dibuat dari kalangan ahli-ahli Pihak Pekerja yang dipilih dan pemilihan itu hendaklah dibuat oleh Pihak Pekerja sendiri tanpa campur tangan dari Pihak Pengurusan. Pengerusi Pihak Pekerja akan menjadi Naib Pengerusi kepada MBJ manakala Setiausaha Pihak Pekerja akan menjadi Setiausaha Bersama.
-
Ahli-ahli Pihak Pekerja hendaklah memegang jawatan selama tempoh 1 penggal (2 tahun) mulai dari tarikh pelantikan mereka dan boleh terus memegang jawatan yang disandang sehingga ahli-ahli yang akan mengambil alih telah dilantik. Kekosongan yang berlaku di Pihak Pekerja hendaklah diisi oleh pengganti dari kumpulan gred yang sama bagi penggal tersebut. Walau bagaimanapun, wakil Pihak Pekerja hanya boleh memegang jawatan untuk 1 penggal sahaja (2) tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai dari kumpulan gred berkenaan menjadi wakil MBJ.
-
Bagi mengelakkan ‘conflict of interest’, pegawai dan kakitangan dari Bahagian Pentadbiran, Bahagian Kewangan, Bahagian Akaun dan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia tidak boleh dilantik mewakili Pihak Pekerja. Walau bagaimanapun, syarat ini tidak terpakai bagi lantikan wakil Kumpulan Pengawal Keselamatan dan wakil Kumpulan Pemandu.
-
Wakil Pekerja yang dilantik hendaklah hadir sekurang-kurangnya 3 daripada 4 mesyuarat Majlis dalam setahun. Sekiranya syarat ini tidak dipatuhi, keahlian akan dilucutkan dan pemilihan pengganti akan dibuat di kalangan pekerja dalam kumpulan gred yang sama. Ahli yang tidak dapat menghadiri mesyuarat tidak boleh mewakilkan kepada orang lain.
PEGAWAI-PEGAWAI MAJLIS
- Pegawai-pegawai Majlis adalah merangkumi Pengerusi, Naib Pengerusi (Pengerusi Pihak Pekerja) dan Setiausaha Bersama yang terdiri daripada Setiausaha Pihak Pegawai dan Setiausaha Pihak Pekerja.
WAKIL KHAS MBJ
- Majlis boleh melantik wakil-wakil khas mengikut kesesuaian bagi menghadiri mesyuarat untuk menyumbang idea dan pandangan bagi kebaikan MITI seperti wakil dari Kumpulan Orang Kelainan Upaya (OKU). Pelantikan hendaklah di cadang dan dipersetujui secara bersama semasa mesyuarat bersidang. Wakil-wakil khas yang dilantik tidak tertakluk kepada peraturan sebagaimana yang terpakai kepada Pihak Pekerja.
TUJUAN
-
Tujuan Majlis adalah untuk:
-
menjalin kerjasama yang erat dan menyeluruh di antara Pihak Pegawai dan Pihak Pekerja di MITI dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kelicinan kerja dan kebajikan pekerja-pekerja berkenaan;
-
membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan, pentadbiran dan perjalanan organisasi dengan menitikberatkan kepada kepentingan perkerja-pekerja MITI; dan
-
mengumpul pelbagai idea Pihak Pegawai dan Pihak Pekerja di MITI.
-
BIDANG DAN FUNGSI
-
Bidang dan fungsi Majlis hendaklah tertumpu hanya kepada perkara-perkara berikut:
-
membincang dan memutuskan akan perkara-perkara mengenai syarat-syarat bekerja yang ada kaitan dengan pentadbiran yang berkenaan kecuali perkara-perkara yang melibatkan dasar Kerajaan atau hal-hal perseorangan;
-
membolehkan Pihak Pekerja lebih bertanggungjawab terhadap tugas-tugas mereka dan mematuhi peraturan-peraturan yang berkaitan;
-
menggalakkan warga MITI mengambil bahagian dalam perbincangan-perbincangan bagi meningkatkan pengetahuan mengenai fungsi dan pentadbiran pelbagai Bahagian; dan
-
mengadakan saluran bagi menerima dan menimbang cadangan/syor dari warga MITI untuk memperbaiki sistem perjalanan organisasi.
-
MESYUARAT
-
Mesyuarat-mesyuarat biasa bagi Majlis hendaklah diadakan tiga (3) bulan sekali, iaitu empat (4) kali setahun. Kuorum bagi mesyuarat Majlis hendaklah tidak kurang daripada 50% (5) orang ahli Pihak Pegawai dan 50% (10) orang ahli Pihak Pekerja.
-
Agenda bagi mesyuarat Majlis hendaklah disediakan oleh Setiausaha Bersama dan dihantar kepada ahli-ahli tidak kurang daripada 7 hari sebelum tarikh mesyuarat. Perkara-perkara yang tidak termasuk dalam agenda hanya boleh dibincangkan dengan kebenaran Pengerusi dan Naib Pengerusi.
-
Mesyuarat Khas Majlis boleh diadakan dengan permintaan Pengerusi atau Naib Pengerusi. Perkara yang akan dibincangkan hendaklah terhad kepada perkara yang dinyatakan dalam notis panggilan mesyuarat.
-
Sekiranya Pengerusi tidak dapat mempengerusikan mana-mana mesyuarat Majlis, maka ahli Pihak Pegawai terkanan boleh mempengerusikan mesyuarat Majlis dengan kebenaran daripada Pengerusi. Dalam apa keadaan sekalipun, Naib Pengerusi iaitu Pengerusi Pihak Pekerja tidak boleh mempengerusikan mana-mana mesyuarat Majlis.
-
Minit Mesyuarat MBJ hendaklah ditandatangani oleh Setiausaha Pihak Pegawai dan Setiausaha Pihak Pekerja.
KEPUTUSAN
- Segala keputusan Majlis hendaklah dicapai secara persetujuan bersama di antara Pihak Pegawai dengan Pihak Pekerja. Keputusan yang diambil jika tidak ada hubungan dengan Jabatan- Jabatan lain dan tidak pula bertelingkah dengan dasar Kerajaan, bolehlah diselenggarakan atau dilaksanakan terus oleh MITI. Bagi keputusan yang ada kaitan dengan dasar Kerajaan ataupun dengan Jabatan- Jabatan lain ianya hendaklah dirujukkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam ataupun Jabatan-Jabatan yang berkenaan.
PINDAAN KEPADA PERLEMBAGAAN
-
Perlembagaan Majlis boleh dipinda di mana-mana mesyuarat Majlis dengan persetujuan tidak kurang daripada 50% ahli Pihak Pegawai dan 50% ahli Pihak Pekerja. Notis mengenai pindaan hendaklah diberi dan diedarkan kepada ahli-ahli Majlis sekurang-kurangnya sebulan sebelum tarikh mesyuarat. Segala pindaan perlembagaan yang telah diluluskan oleh Majlis hendaklah dikemukakan ke Bahagian Saraan, Jabatan Perkhidmatan Awam untuk kelulusan.
-
abatan Perkhidmatan Awam sebagai penggubal dasar boleh menetapkan kaedah terbaik bagi menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat dan pertentangan di antara Pihak Pegawai dengan Pihak Pekerja mengenai penggubalan dan pindaan perlembagaan Majlis. Keputusan yang dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam adalah muktamad selari dengan kuasa yang diperuntukkan dalam mana-mana Pekeliling Perkhidmatan dan Surat Pekeliling Perkhidmatan sedia ada yang sedang berkuat kuasa.
Disediakan pada: 11 Mei 2015
Disahkan: 22 Mei 2015
Diluluskan oleh JPA 28 Julai 2015
Last Updated 2020-06-18 21:32:14 by admin2







